Tuesday 7 October 2014

Gejala Rasuah


Rasuah merupakan penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan jam tangan yang mahal kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan yang mewah atau dengan erti kata lain ingin menjadi kaya dalam masa yang singkat dengan senang. Oleh itu, orang yang biasa melakukan budaya ini tidak akan memikirkan kesan buruk yang akan terjadi dan mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. 

Punca-punca berlakunya Gejala Rasuah
1. Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi
Kepimpinan yang lemah menyebabkan kekurangan penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Hasil pemerhatian dan kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPR) ke atas kes-kes yang telah disiasat tetapi tidak dapat dibawa ke mahkamah, menunjukkan bahawa antara faktor-faktor berlakunya rasuah dalam perkhidmatan awam berpunca dari kurangnya pengawasan oleh pegawai atasan. Di samping itu terdapat juga kelemahan-kelemahan dalam sistem atau prosedur kerja yang membuka peluang serta memberi laluan kepada pegawai-pegawai melakukan rasuah dan penyelewengan.Oleh itu, tidak hairanlah gejala rasuah semakin kerap berlaku.

2. Faktor social dan budaya
Faktor sosial dan budaya turut menyumbang berlakunya gejala rasuah. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Sebagai contoh, kaum cina suka memberi angpau, manakala tradisi orang-orang Melayu pula suka memberi buah tangan dan bersedekah. Ini telah memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari. 

3. Faktor kelemahan individu
Punca asas seseorang melakukan rasuah adalah kerana kurangnya iman dan ketaqwaannya terhadap Tuhan.  Walaupun diketahuinya rasuah itu salah tetapi tetap melakukannya dengan alasan-alasan tersendiri dan selagi manusia lain tidak tahu.  Selain dari itu, faktor-faktor seperti suka menyenggara hidup melebihi pendapatan, suka hidup mewah, tamak haloba, ingin cepat kaya, suka berjudi, dan berhutang menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah rasuah.

Kesan-kesan
1. Kehilangan kepercayaan
Kesan pertama ialah kesan terhadap pelaku rasuah.  Kesan yang paling cepat dirasakan adalah keatas individu-individu yang terlibat dengan rasuah itu sendiri.  Mereka akan kehilangan pekerjaan dan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Kajian yang telah dijalankan oleh SPRM keatas orang-orang yang pernah ditangkap dan dihukum kerana rasuah mendapati bahawa pesalah-pesalah rasuah telah mengalami tekanan jiwa, malu, terhina, menjadi sensitif, kebebasan tergugat serta pergaulan sosial yang terhad. Satu lagi kesan yang dirasai ialah bilamana mengalami kerugian wang yang banyak kerana terpaksa membayar khidmat peguambela sehingga ada yang terpaksa bergadai harta benda.

2. Tumpuan dan pembangunan tidak seimbang
Rasuah juga telah menyebabkan  tumpuan pelaburan dan pembangunan tidak seimbang dan saksama. Hal ini demikian kerana jika berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia akan mewujudkan golongan masyarakat yang terpaksa menanggung kesan buruknya.  Tumpuan pembangunan dan pelaburan berpusu ke sektor tertentu sahaja.  Ketidakseimbangan ini wujud bukan kerana sektor ini mempunyai permintaan dan keuntungan yang tinggi tetapi kerana rasuah.  Maka berlakulah pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah dan sektor-sektor lain yang tidak mempunyai peluang untuk melakukan rasuah, maka ia tidak diperkembangkan.

3. Menjauhkan jurang perbezaan di antara gologan miskin dan gologan kaya
Rasuah akan menjauhkan jurang perbezaan di antara golongan miskin dan kaya. Hal ini demikian kerana golongan yang kaya mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat oleh pegawai kerajaan. Ini akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak peluang yang ditawarkan oleh kerajaan, walaupun kadangkala mereka tidak berhak mendapatkannya.  Rasuah kepada mereka merupakan satu jambatan untuk mengaut lebih banyak keistimewaan dan menambahkan kekayaan.  Keadaan ini akan menimbulkan ketidakadilan sosial yang akhirnya akan menjejaskan integrasi nasional.

Kesimpulan
Kesedaran yang kuat harus wujud dari setiap sudut organisasi dan di setiap peringkat pemerintahan agar gejala rasuah ini dapat dibendung. Selain itu, masyarakat dari setiap sudut negara haruslah prihatin terhadap masalah ini agar masalah ini tidak akan terus berlaku.

1 comment:

  1. The 3-Star Casino in Las Vegas - Mapyro
    Located in Las Vegas Strip, The 3-Star Casino in Las 구미 출장안마 Vegas is within a 15-minute walk of Fashion Show Mall and 전라북도 출장마사지 Sands Expo 의정부 출장샵 Convention Center. The 3-star casino  Rating: 서산 출장샵 5 광양 출장샵 · ‎1 vote

    ReplyDelete