Friday 14 November 2014

Kemalangan Jalan Raya



Kemalangan jalan raya merupakan peristiwa yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun di lebuh raya. Kemalangan di jalan raya biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Mengikut artikel yang dipapar oleh Utusan Online, statistik menunjukkan jumlah kemalangan membabitkan kenderaan berat meningkat sebanyak 2,491 kes sepangjang tahun 2013. Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca dan langkah-langkah yang menunjangi permasalahan ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

    Punca pertama kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu atau penunggang itu sendiri. Hal ini disebabkan pemandu yang bersikap mementingkan diri,malah tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi jalan raya. Sebagai contoh, pemandu kenderaan yang memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. Di samping itu, sesetengah pemandu yang memandu dalam keadaan mengatuk juga akan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Ini akan mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Selain itu, gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar dan memotong di sebelah kiri kenderaan. 


      Punca seterusnya ialah disebabkan keadaan struktur jalan raya yang tidak selamat daripada pelbagai aspek. Hal ini demikian kerana terdapat keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit, lampu jalan rosak dan tidak rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Bukan itu sahaja, struktur jalan raya yang berbelok-belok sehingga menyebabkan kenderaan terbabas atau sukar dikawal. Selain itu, struktur cerun jalan yang curam meninggikan lagi risiko kerosakan brek. Bagi jalan yang lebar dan luas pula,keadaan tersebut meningkatkan kecenderungan pemandu memandu dengan laju. Di samping itu, jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalan raya menjadi licin dan sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Sebagai contoh, di Lebuhraya Timur Barat, struktur jalan dikatakan kurang berkualiti kerana terdapat banyak kawasan jalan yang beralun malah banyak kemalangan maut direkodkan. 
      Selain itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat, serta mampu memberi  kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan jalan raya. Ini diakibatkan daripada ketidak jujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah. Bukan itu sahaja, dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu membayar jumlah tersebut. Oleh itu, pemandu tidak kentar melakukan kesalahan di jalan raya.Sebagai kesimpulan, kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya di Negara kita.


      Langkah utama untuk mengatasi kemalangan jalan raya ialah mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna. Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.


      Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam dan waktu hujan. Umpamanya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.


Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Selain itu, pihak-pihak berkuasa itu perlu bertanggungjawab semasa bertugas supaya tidak menerima rasuah dan memberi peluang kepada sesiapa yang melanggar peraturan jalan raya tidak dikenakan denda ataupun konpaun. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
      
Sebagai kesimpulan, ia terdapat banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahuoun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk mengurangkan kemalagan jalan raya di negara kita. 



4 comments: