Friday 14 November 2014

Kemalangan Jalan Raya



Kemalangan jalan raya merupakan peristiwa yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun di lebuh raya. Kemalangan di jalan raya biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Mengikut artikel yang dipapar oleh Utusan Online, statistik menunjukkan jumlah kemalangan membabitkan kenderaan berat meningkat sebanyak 2,491 kes sepangjang tahun 2013. Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca dan langkah-langkah yang menunjangi permasalahan ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

    Punca pertama kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu atau penunggang itu sendiri. Hal ini disebabkan pemandu yang bersikap mementingkan diri,malah tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi jalan raya. Sebagai contoh, pemandu kenderaan yang memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. Di samping itu, sesetengah pemandu yang memandu dalam keadaan mengatuk juga akan mengakibatkan kemalangan jalan raya. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Ini akan mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Selain itu, gelagat penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar dan memotong di sebelah kiri kenderaan. 


      Punca seterusnya ialah disebabkan keadaan struktur jalan raya yang tidak selamat daripada pelbagai aspek. Hal ini demikian kerana terdapat keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit, lampu jalan rosak dan tidak rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Bukan itu sahaja, struktur jalan raya yang berbelok-belok sehingga menyebabkan kenderaan terbabas atau sukar dikawal. Selain itu, struktur cerun jalan yang curam meninggikan lagi risiko kerosakan brek. Bagi jalan yang lebar dan luas pula,keadaan tersebut meningkatkan kecenderungan pemandu memandu dengan laju. Di samping itu, jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalan raya menjadi licin dan sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Sebagai contoh, di Lebuhraya Timur Barat, struktur jalan dikatakan kurang berkualiti kerana terdapat banyak kawasan jalan yang beralun malah banyak kemalangan maut direkodkan. 
      Selain itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca berlakunya kemalangan jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat, serta mampu memberi  kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan jalan raya. Ini diakibatkan daripada ketidak jujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah. Bukan itu sahaja, dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu membayar jumlah tersebut. Oleh itu, pemandu tidak kentar melakukan kesalahan di jalan raya.Sebagai kesimpulan, kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya di Negara kita.


      Langkah utama untuk mengatasi kemalangan jalan raya ialah mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna. Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.


      Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam dan waktu hujan. Umpamanya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.


Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Selain itu, pihak-pihak berkuasa itu perlu bertanggungjawab semasa bertugas supaya tidak menerima rasuah dan memberi peluang kepada sesiapa yang melanggar peraturan jalan raya tidak dikenakan denda ataupun konpaun. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
      
Sebagai kesimpulan, ia terdapat banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahuoun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk mengurangkan kemalagan jalan raya di negara kita. 



Tuesday 7 October 2014

Gejala Rasuah


Rasuah merupakan penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan jam tangan yang mahal kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan yang mewah atau dengan erti kata lain ingin menjadi kaya dalam masa yang singkat dengan senang. Oleh itu, orang yang biasa melakukan budaya ini tidak akan memikirkan kesan buruk yang akan terjadi dan mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. 

Punca-punca berlakunya Gejala Rasuah
1. Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi
Kepimpinan yang lemah menyebabkan kekurangan penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Hasil pemerhatian dan kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPR) ke atas kes-kes yang telah disiasat tetapi tidak dapat dibawa ke mahkamah, menunjukkan bahawa antara faktor-faktor berlakunya rasuah dalam perkhidmatan awam berpunca dari kurangnya pengawasan oleh pegawai atasan. Di samping itu terdapat juga kelemahan-kelemahan dalam sistem atau prosedur kerja yang membuka peluang serta memberi laluan kepada pegawai-pegawai melakukan rasuah dan penyelewengan.Oleh itu, tidak hairanlah gejala rasuah semakin kerap berlaku.

2. Faktor social dan budaya
Faktor sosial dan budaya turut menyumbang berlakunya gejala rasuah. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Sebagai contoh, kaum cina suka memberi angpau, manakala tradisi orang-orang Melayu pula suka memberi buah tangan dan bersedekah. Ini telah memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari. 

3. Faktor kelemahan individu
Punca asas seseorang melakukan rasuah adalah kerana kurangnya iman dan ketaqwaannya terhadap Tuhan.  Walaupun diketahuinya rasuah itu salah tetapi tetap melakukannya dengan alasan-alasan tersendiri dan selagi manusia lain tidak tahu.  Selain dari itu, faktor-faktor seperti suka menyenggara hidup melebihi pendapatan, suka hidup mewah, tamak haloba, ingin cepat kaya, suka berjudi, dan berhutang menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah rasuah.

Kesan-kesan
1. Kehilangan kepercayaan
Kesan pertama ialah kesan terhadap pelaku rasuah.  Kesan yang paling cepat dirasakan adalah keatas individu-individu yang terlibat dengan rasuah itu sendiri.  Mereka akan kehilangan pekerjaan dan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Kajian yang telah dijalankan oleh SPRM keatas orang-orang yang pernah ditangkap dan dihukum kerana rasuah mendapati bahawa pesalah-pesalah rasuah telah mengalami tekanan jiwa, malu, terhina, menjadi sensitif, kebebasan tergugat serta pergaulan sosial yang terhad. Satu lagi kesan yang dirasai ialah bilamana mengalami kerugian wang yang banyak kerana terpaksa membayar khidmat peguambela sehingga ada yang terpaksa bergadai harta benda.

2. Tumpuan dan pembangunan tidak seimbang
Rasuah juga telah menyebabkan  tumpuan pelaburan dan pembangunan tidak seimbang dan saksama. Hal ini demikian kerana jika berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia akan mewujudkan golongan masyarakat yang terpaksa menanggung kesan buruknya.  Tumpuan pembangunan dan pelaburan berpusu ke sektor tertentu sahaja.  Ketidakseimbangan ini wujud bukan kerana sektor ini mempunyai permintaan dan keuntungan yang tinggi tetapi kerana rasuah.  Maka berlakulah pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah dan sektor-sektor lain yang tidak mempunyai peluang untuk melakukan rasuah, maka ia tidak diperkembangkan.

3. Menjauhkan jurang perbezaan di antara gologan miskin dan gologan kaya
Rasuah akan menjauhkan jurang perbezaan di antara golongan miskin dan kaya. Hal ini demikian kerana golongan yang kaya mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat oleh pegawai kerajaan. Ini akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak peluang yang ditawarkan oleh kerajaan, walaupun kadangkala mereka tidak berhak mendapatkannya.  Rasuah kepada mereka merupakan satu jambatan untuk mengaut lebih banyak keistimewaan dan menambahkan kekayaan.  Keadaan ini akan menimbulkan ketidakadilan sosial yang akhirnya akan menjejaskan integrasi nasional.

Kesimpulan
Kesedaran yang kuat harus wujud dari setiap sudut organisasi dan di setiap peringkat pemerintahan agar gejala rasuah ini dapat dibendung. Selain itu, masyarakat dari setiap sudut negara haruslah prihatin terhadap masalah ini agar masalah ini tidak akan terus berlaku.

Monday 29 September 2014

Kes Ragut

Sejak kebelakangan ini, kes ragut di Malaysia semakin meningkat dan sering dilaporkan media. Ini akan mencetuskan kebimbangan masyarakat terutama gologan wanita. Hal ini demikian kerana kebanyakan mangsa kes ragut terdiri daripada perempuan. Selain itu, dalam beberapa kes tertentu ia bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serius malah ada yang membawa maut. Lantara itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita mestilah mengetahui punca-punca yang mendorong kes ragut serta langkah-langkah untuk mengatasi jenayah ragut.

Punca-punca mendorong kes ragut
1.      Desakan Hidup











Taraf kehidupan di Malaysia semakin meningkat dan harga barangan juga semakin meningkat. Ini telah menyebabkan rakyat Malaysia memerlukan rezaki yang lebih banyak berbanding dengan dahulu untuk meneruskan kehidupan mereka. Ini telah menyebabkan sesetengah orang sanggup menjadi peragut untuk mendapatkan wang dengan senang.
            Selain itu, pengganguran juga menyebabkan sesetengah orang menjadi peragut. Hal ini demikian kerana mereka telah hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga sehingga terpaksa menjadi peragut untuk meneruskan kehidupannya.
            Di samping itu, sesetengah orang yang bersikap tamak dan ingin kehidupan yang mewah sehingga sanggup menjadi peragut untuk mendapatkan sumber kewangan deng cepat.
            Tambahan pula, penagih dadah juga sering menjadi peragut kerana mereka memerlukan wang untuk membeli dadah. Biasanya, penagih dadah sanggup berbuat demikian kerana mereka telah kehilangan rasional.

2.      Sikap Mangsa












Biasanya, peragut akan tertarik dengan wanita-wanita yang suka mendedahkan barang kemas yang dipakai. Sebagai contoh, wanita yang suka memakai barang emas sering manjadi mangsa ragut. Kadang-kala mereka tidak peka terhadap sekelilingnya juga akan menyebabkan mereka menjadi mangsa ragut. Wanita yang berjalan sendirian juga mudah menjadi mangsa ragut. Hal ini kerana tidak ada orang boleh memberi bantuan dengan segera jika peragut ingin meragut wanita yang berjalan sendirian.  


3.      Kawasan yang tidak mempunyai ciri keselamatan











Kawasan-kawasan yang sering menjadi sasaran peragut untuk meragut adalah kawasan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup, jalan yang sunyi dan jalan yang tidak mempunyai lampu. Ini telah memberi peluang kepada peragut untuk meragut.


Langkah-langkah untuk mengatasi jenayah ragut
1.      Meningkatkan pengawasan polis












Pengawasan polis boleh ditingkatkan di kawasan panas seperti stesen bas, jalan sunyi, tempat tumpuan umum dan lain-lain lagi. Rondaan perlu dilakukan dengan lebih kerap dan berterusan terutama di kawasan panas untuk mengatasi kes ragut berlaku. Selain itu, bilangan polis bantuan juga perlu ditingkatkan untuk mengatasi kes ragut dengan berkesan.

2.      Memasang kamera litar tertutup di tempat awam.













Memasang kamera litar tertutup di tempat awam dan di sambungkan dengan balai polis berhampiran. Ini menyebabkan polis dapat mengesan pergerakan peragut dengan segera dan berkesan. Apabila kamera litar tertutup dipasang di tempat awam dapat menghalang peragut kerana bimbang aktiviti mereka dikesan maka ini akan mengurangkan kes ragut berlaku.

3.      Kesedaran masyarakat












Kesedaran masyarakan perlu diingkatkan supaya boleh mengelakkan daripada diragut. Sebagai contoh, jika boleh wanita perlu mengelakkan memakai barang kemas yang berlebihan supaya tidak menarik perhatian peragut dan menjadi mangsa ragut. Selain itu, jangan membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak supaya tidak akan menjadi sasaran peragut. Di samping itu, masyarakat tidak digalakkan berjalan dalam lorong secara bersendirian walaupun lorong tersebut adalah jalan singkat terutama golongan wanita.

            Secara kesinpulan, jika kes ragut sering berlaku di Negara kita akan menjejaskan imej Negara dan keselamatan rakyat. Oleh itu, semua pihak perlu memberi kerjasama untuk mengatasi jenayah ragut.